LONDON – Arsenal digesa untuk melepaskan khidmat ketua pasukan mereka, Pierre-Emerick Aubameyang yang dilihat gagal memainkan peranan bersama pasukan itu ketika ini.
Pengulas bola sepak di England, John Barnes berpendapat, sudah tiba masanya untuk pengurus pasukan itu, Mikel Arteta mengambil keputusan berani melepaskan pemain yang meraih pendapatan tinggi di Emirates itu.
Menurutnya, Aubameyang sudah tidak mampu untuk membantu Arsenal menjadi sebuah pasukan yang digeruni termasuk hanya memanaskan bangku simpanan ketika mereka tewas kepada Everton sebelum ini.
“Saya fikir Arsenal perlu mencari pengganti kepada Aubameyang dan seorang lagi penyerang mereka, Alexander Lacazette.
“Perjalanan karier Aubameyang di Arsenal menjadi semakin sukar. Dia tidak beraksi menentang Everton sebaliknya Eddie Nketiah yang disenaraikan.
“Dia menjadi beban di Arsenal ketika ini. Apabila anda memiliki barisan pemain muda yang ramai, anda perlu mempunyai pemain senior yang mampu membimbing tetapi Aubameyang tidak mempunyai kualiti sebagai ketua dan gagal menjalankan tugasnya,” katanya.
Aubameyang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan menentang Everton di Goodison Park selepas Arteta memilih menyenaraikan Nketiah sebagai penyerang utama pasukan itu terlebih dahulu. – AGENSI