ABU DHABI – Bekas ketua pegawai eksekutif Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone percaya pasukan Mercedes telah menggunakan ‘taktik kotor’ untuk mendapatkan kelebihan dalam pemburuan gelaran juara dunia menjelang perlumbaan terakhir Grand Prix (GP) Abu Dhabi minggu ini.
Sebagai rekod, pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dan pencabar utama dari pasukan Red Bull, Max Verstappen terikat untuk carta pendahulu kejuaraan dunia dengan 369.5 mata, manakala bagi kategori pengeluar, Mercedes unggul dengan 587.5 mata, manakala Red Bull ketinggalan dengan 559.5 mata.
Kata Ecclestone, Mercedes yang sudah mendominasi saingan sejak musim 2014 dengan Hamilton memburu kejuaraan dunia kelapan peribadi akan terus menggunakan kedudukan mereka untuk mempengaruhi pegawai perlumbaan seperti yang dilakukan sejak beberapa GP lepas.
“Saya lihat Verstappen seperti budak mentah jika dibandingkan dengan Hamilton yang sememangnya mendapat sokongan penuh peminat F1 selain menjadi kesayangan pihak media dalam perebutan gelaran dunia kali ini.
“Namun, saya lihat Hamilton dan pasukan Mercedes tidak bersaing dengan adil kerana menggunakan pengaruh mereka untuk memperdaya pengurusan tertinggi perlumbaan terutama menerusi prinsipal pasukan, Toto Wolff.
“Secara jujur Verstappen dan pasukan Red Bull bagaikan dibuli pada beberapa GP lepas dan ia terbukti selepas Hamilton tidak mempunyai masalah untuk menjuarai tiga perlumbaan berturut-turut.
“Namun, saya akui tidak memihak kepada mana-mana pelumba tetapi agak jelas jika Verstappen bergelar juara dunia, ia akan menjadi satu sejarah unik selain memberi nafas segar terhadap saingan F1 untuk saingan masa depan,” katanya. – AGENSI