fbpx

Inisiatif Made Janur tangani kelaparan masyarakat dengan pulihara alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MADE JANUR YASA diangkat sebagai salah seorang wira oleh CNN.

KEHIDUPAN wanita berusia 60-an itu cukup sengsara selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada awal tahun 2019.

Perniagaan kecil-kecilan diusahakan oleh Retug di kaki lima terpaksa ditutup ekoran tindakan orang ramai berkurung di dalam rumah serta ketiadaan pelancong asing.

Ia membuatkan wanita bertubuh kurus itu mengalami masalah kekurangan wang untuk mencukupkan bekalan makanan terutamanya beras buat keluarganya.

Disebabkan itu, Retug memilih untuk berjalan di sekitar pantai di Bali, Indonesia sejauh empat kilometer setiap hari bagi mencari dan mengumpul sisa-sisa plastik.

Sisa plastik yang dikumpul itu dibawa ke sebuah bangsal kecil untuk ditimbang sebelum ditukarkan dengan beras menerusi program Plastic Exchange.

Ia merupakan satu program yang membolehkan orang ramai menukar 1 kilogram (kg) sisa plastik dengan 1kg beras dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Saya mempunyai kawasan penanaman padi sendiri, tetapi hasilnya tidak terlalu banyak. Disebabkan pandemik, perniagaan saya terjejas dan kehilangan pendapatan.

“Bagi mendapatkan lebih banyak beras, saya memilih mengutip sisa plastik. Saya sangat menyukai program ini kerana membantu orang susah seperti saya,” katanya.

MADE JANUR (tengah) giat memberi penerangan kepada pelawat mengenai program Plastic Exchange yang diusahakannya sejak Mei tahun lalu.

Program Plastic Exchange diasaskan oleh seorang lelaki tempatan bernama Made Janur Yasa di kampung halamannya di Tabanan, Bali.

Program tersebut telah berjaya mengumpul 500kg sisa plastik seperti penyedut minuman, beg plastik dan botol plastik dalam tempoh lima hari.

Sebagai balasan, lelaki tersebut memberi ganjaran 500kg beras kepada para penduduk kampung yang terlibat.

Lelaki berusia 55 tahun itu memulakan inisiatif murni tersebut sejak Mei tahun lalu selepas perniagaannya ‘terganggu’ ekoran pandemik Covid-19.

Sebagai pemilik Restoran Vegan di hab kebudayaan Bali di Ubud, perniagaan Made Janur turut terjejas seperti bisnes lain ekoran penularan virus maut itu di seluruh dunia.

“Restoran saya tidak dapat bertahan ketika pandemik melanda. Pelanggan tidak datang dan saya mula memikirkan perkara lain yang boleh dilakukan.

“Namun, saya sangat menyukai frasa sukar ini dalam hidup. Bagi saya, setiap cabaran yang datang pasti ada penyelesaiannya,” katanya ketika ditemu bual agensi berita Singapura, CNA baru-baru ini.

Sebagai penganut Hindu Bali, bapa kepada tiga cahaya mata itu percaya kepada konsep Tri Hita Karana.

PROSES menimbang sisa plastik dilakukan oleh sukarelawan program Plastic Exchange.

Menurut konsep berkenaan, kemakmuran dapat diperoleh menerusi hubungan harmoni antara individu bersama tiga komponen lain iaitu tuhan, manusia dan alam sekitar.

“Banyak orang gagal menyimbangkan ketiga-tiga elemen ini.

“Kadang-kadang mereka terlalu memikirkan alam sekitar sehingga mengorbankan hubungan dengan manusia.

“Ada kalanya, kita berfikir tentang orang dan keuntungan sehingga mengabaikan alam sekitar,” jelasnya.

Meskipun pendapatan Made Janur terjejas teruk, namun dia sedar ramai masyarakat di Bali memiliki nasib lebih teruk daripadanya akibat pandemik.

Ramai penduduk di pulau peranginan terkemuka dunia itu kehilangan pekerjaan dan pendapatan, sekali gus memaksa mereka pulang ke kampung bersama sedikit wang simpanan.

Pada masa sama, dia menyedari bahawa Bali turut mengalami masalah lain yang lebih serius terutamanya berkaitan pencemaran plastik.

Ketika menuntut di universiti, dia dapati terdapat banyak sisa plastik di pulau berkenaan sehingga menjejaskan alam sekitar.

Masalah berkenaan semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga memaksa pemerintah Bali mengharamkan penggunaan plastik sekali guna pada 2019.

Memandangkan orang ramai banyak bergantung kepada pemberian makanan ketika pandemik, dia mengambil pendekatan untuk berbakti kepada bumi dan masyarakat.

“Program ini bermula dari mulut ke mulut. Kemudian, ia mula tersebar dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp masyarakat di sekitar Bali.

“Ia bukan berbentuk kewajipan. Kalau mahukan beras, mereka (penduduk kampung) boleh mengumpul plastik dari rumah, jalan, pantai atau di mana-mana sahaja,” katanya.

PENDUDUK kampung di Bali menghantar sisa plastik untuk ditukarkan dengan beras sebagai usaha menjaga alam sekitar.

Terdapat juga penduduk kampung yang membantu menyebarkan berita dengan meletakkan risalah di gerai makanan tempatan.

Bermula dengan sebuah desa, kini program tersebut telah berkembang ke lebih 200 kampung di seluruh Bali.

Sehingga kini, program itu telah berjaya mengumpul kira-kira 50 tan sisa plastik sambil membantu ramai penduduk miskin di Bali mendapatkan beras.

“Remaja dan orang tua datang ke sini membawa sisa plastik dengan gembira. Anak-anak kecil datang bersama ibu mereka dengan mengukir senyuman.

“Itulah yang membuatkan saya terus kekal di sini selepas melihat semangat mereka. Penduduk Bali sangat seronok mengutip sisa plastik memandangkan ia satu kerja mudah,” jelasnya.

Usaha murni dilakukan oleh Made Janur telah membolehkannya disenaraikan dalam Top 10 CNN Heroes 2021 sebaris nama-nama besar lain di seluruh dunia.

CNN Heroes merupakan sebuah pertandingan anjuran agensi televisyen berpangkalan di Amerika Syarikat yang memberi penghargaan kepada individu yang banyak berjasa kepada masyarakat.

Menurutnya, program Plastic Exchange diharap dapat membantu mengubah perilaku dan pemikiran sebahagian besar penduduk Bali terhadap sisa plastik.

Katanya, dia ingin mendidik masyarakat supaya mengasingkan sisa plastik daripada sampah harian sebelum dibuang ke tempat pelupusan.

“Kini, saya dapati masyarakat mula berfikir bahawa sisa plastik mesti diasingkan dan dikumpulkan sebelum ditukarkan dengan makanan (beras).

“Ada antara mereka sanggup mengutip sisa plastik di jalanan pada setiap hari semata-mata untuk menjayakan program ini,” tegasnya.

Menariknya, Made Janur bukan sahaja membantu golongan miskin mendapatkan makanan serta membersihkan alam sekitar, malah menjana pendapatan para petani.

“Kami berjaya mencipta satu kitaran ekonomi sempurna dengan membeli beras daripada petani, sekali gus membolehkan mereka menjana pendapatan,” katanya.Untuk makluman, Indonesia merupakan negara kedua yang mempunyai laut paling tercemar dengan plastik selepas China.

Pesisir pantai Bali merupakan salah satu kawasan paling tercemar akibat lambakan pembuangan sisa plastik oleh penduduk tempatan dan pelancong.

Menurut Made Janur, sewaktu dia membesar di pulau itu, sisa plastik bukan satu masalah besar dan hidupnya hanya bersifat sederhana.

“Di kampung saya, kami tidak membesar dengan wang. Kami tinggal di dalam kampung dengan mengguna pakai sistem barter.

“Jika memerlukan barangan seperti rempah atau beras, saya akan pergi ke rumah jiran untuk menukar sesuatu dengan mereka.

“Sistem ini berjaya menyatukan hubungan sesama manusia. Anda tidak boleh memberi nilai terhadap cara hidup berkenaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI