fbpx

‘Tiada kawan Melayu, India sewaktu di sekolah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIM Mei Fen bergandingan dengan pelakon handal, Amerul Affendi dalam filem Prebet Sapu yang dipilih mewakili Malaysia untuk pencalonan awal Oscar tahun hadapan.

PETALING JAYA – Pelakon dan penerbit, Lim Mei Fen mengakui bukan mudah buat dirinya untuk menempatkan diri dalam industri lakonan Malaysia yang kelazimannya dipelopori mereka yang berbangsa Melayu.

Kata Mei Fen, 34, dia tidak mempunyai ramai kawan berbangsa Melayu sejak zaman sekolah namun semua itu berubah selepas dia menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 2015.

“Saya masuk dunia lakonan agak lewat iaitu ketika berusia 26 tahun menerusi filem berbahasa Mandarin, The Cage.

“Selepas itu, saya rasa macam nak ‘cau’ sebab saya rasa susah nak jadi pelakon di Malaysia. Kemudian, Soo Wincci usulkan nama saya menggantikan dirinya kepada Erma Fatima untuk satu projek teater Takhta Tiga Ratu. Dari pengalaman terlibat teater itu, saya belajar banyak perkara termasuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu.

“Sejujurnya, saya tiada kawan Melayu atau India sewaktu di sekolah tetapi semuanya berubah selepas masuk Aswara dan terlibat dalam beberapa projek seni selepas itu,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Mei Fen ditemui pada majlis tayangan filem lakonannya, Prebet Sapu arahan pengarah muda, Muzzamer Rahman.

Katanya, dia banyak terhutang budi dengan Aswara sebagai sebuah institusi yang membuka mata dan jalan rezeki lebih luas terlibat dengan urusan seni.

“Aswara memberi impak yang sangat besar dalam kerjaya lakonan saya. Dulu waktu muda saya punya impian nak kahwin dengan mat salih dan dapat anak comel tapi semuanya berubah.

“Semakin lama, semakin saya sedar bahawa Malaysia ini adalah rumah buat saya. Saya jatuh cinta dengan negara ini. Angan-angan nak kahwin dengan mat salih dah pergi entah ke mana,” katanya berseloroh seraya mendedahkan pernah menetap di Amerika Syarikat (AS) untuk seketika.

Filem lakonan Mei Fen bersama pelakon Amerul Affendi berjudul Prebet Sapu terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik (Best International Feature Film) di Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 yang dijangka berlangsung pada 27 Mac 2022 di Los Angeles, AS.

Prebet Sapu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 16 Disember ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI