KUALA LUMPUR – Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid muncul wira skuad Harimau Malaya apabila meledak gol hatrik pertamanya di pentas antarabangsa selepas membantu pasukan menewaskan Laos 4-0 pada aksi Kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe membuat kejutan dengan merombak kesebelasan utama dengan memberi ruang buat Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi untuk mengemudi jentera serangan bersama Safawi.
Situasi sama dilakukan oleh Laos yang menduduki tangga ke-185 dengan membariskan penyerang berpangkalan di Perancis, Billy Ketkeophomphone dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, tuah lebih memihak buat skuad negara yang tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan hasil ledakan Safawi yang bijak menyudahkan hantaran Arif Aiman seawal minit ke-7.
Jaringan tersebut menaikkan motivasi skuad negara yang hampir meraih gol kedua tetapi tandukan yang dilakukan kapten, Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-10 berjaya ditepis.
Pasukan Laos turut memiliki peluang tetapi beberapa percubaan yang dilakukan oleh Billy menerusi rembatan jarak jauh mudah diselamatkan oleh penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Nasib Laos bertambah malang apabila Safawi menjaringkan gol kedua buat negara menerusi tandukan hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Arif Aiman pada minit ke-34.
Bersambung pada babak kedua, rentak Harimau Malaya semakin meletup apabila Shahrul Saad meledak gol ketiga buat negara hasil gerakan cantik selepas menyudahkan hantaran Baddrol Bakhtiar pada minit ke-78.
Safawi menutup hari cemerlang skuad negara dengan jaringan hatrik selepas bijak menyudahkan umpanan yang dicipta pemain gantian, R. Kogileswaran berselang dua minit kemudian.
Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan pasukan negara akan menumpukan aksi ketiga menentang juara bertahan, Vietnam pada Ahad ini. – K! ONLINE