Oleh ZAKI SALLEH
GERIK – Seorang lelaki warga emas yang menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4WD) untuk ke Lata Bintang Hijau dekat sini meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke kawasan rekreasi itu hari ini.
Mangsa, Md. Roslan Shariff, 60, yang beralamat di Pandan Indah, Kuala Lumpur difahamkan tidak sedarkan diri ketika berada di hentian rehat dan rawat (R&R) kawasan tersebut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Najmi Mohd Shah@Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.40 petang.
Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa keluar ke jalan utama oleh peserta ekspedisi yang lain.
“Maklumat daripada pemanggil memberitahu terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan hospital telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, jarak antara Lata Bintang Hijau ke R&R Bintang Hijau mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, mangsa tidak sedarkan diri semasa sedang mengikuti konvoi lalu dibawa keluar ke jalan utama oleh peserta ekspedisi yang lain kira-kira pukul 1.30 petang.
Menurut beliau, mangsa dipercayai meninggal dunia kerana serangan jantung semasa dibawa ke kawasan R&R Bintang Hijau di Jalan Bintang Hijau-Gerik.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE