PELAWAK terkenal Korea Selatan, Jang Dong-min mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang akhir bulan ini.
Dong-min turut mendedahkan dia bakal mengahwini seorang wanita bukan dalam kalangan selebriti yang telah dikenali sejak beberapa tahun lalu.
Perkara tersebut turut disahkan agensinya, LD Story menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Hello, ini adalah kenyataan agensi kami dan kenyataan Jang Dong-min mengenai laporan perkahwinannya adalah benar.
“Jang Dong-min akan melangsungkan perkahwinan di Pulau Jeju pada 19 Disember nanti,” tulis kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Dong-min, 42, turut memuat naik status dalam laman sosial miliknya berkongsi keterujaan dan perasaannya.
“Sebenarnya saya agak malu untuk memberitahu anda berita perkahwinan saya ini yang seperti secara tiba-tiba.
“Saya telah bertemu dengan orang yang paling berharga dalam hidup saya. Saya akan menjadi suami kepada orang yang saya sayangi dan memulakan keluarga baharu bersamanya,” kata anggota kumpulan pelawak, Ongdalsaem itu.