fbpx

Datuk Seri didakwa lagi, tipu permit pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Al Faizal diringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

SELAYANG – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang pernah didakwa atas dua kesalahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mac lalu, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini kali ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung permohonan permit pekerja asing.

Bagaimanapun tertuduh Mohamed Al Faizal Mohamed Ibrahim, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Al Faizal didakwa telah memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun untuk memindahkan wang sebanyak RM115,100 ke dalam akaun bank RHB miliknya untuk tujuan permohonan permit pekerja asing yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bandar Rawang di sini antara 17 Julai 2020 hingga 19 Januari tahun ini yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan dengan alasan menanggung empat orang anak yang masih belajar selain merupakan penanggung utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Nur Hafizah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 24 Februari 2022 ditetapkan sebutan semula kes.

Pada 23 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM476,000 untuk melepaskan 22 orang warga China.

Sebelum itu, pada 18 Mac lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan memperdaya seorang individu dan menerima suapan berjumlah RM176,000 atas perbuatan sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI