fbpx

Tertuduh kes bunuh amah dikenakan waran tangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail Ambika (baju biru) ketika didakwa di Mahkamah Pulau Pinang pada 2018.

PUTRAJAYA – Seorang wanita warga emas yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia empat tahun lalu, dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas gagal hadir pada prosiding rayuan.

Panel tiga hakim yang diketuai, Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang bersidang bersama-sama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal mengeluarkan waran tangkap itu selepas mahkamah tidak menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan R.Jayavartiny bagi pihak ibunya, M. A. Ambika, 63.

“Mahkamah telah ditunjukan sijil sakit responden (Ambika) yang menyebut mengenai keadaannya. Doktor yang memeriksa responden juga telah dimaklumkan mengenai prosiding mahkamah pada hari ini. Namun, sijil sakit tersebut tidak menyatakan bahawa responden tidak boleh hadir hari ini. Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima sijil sakit ini,” kata hakim Vernon.

Menurut panel hakim itu, kes tersebut telah tertangguh beberapa kali disebabkan responden tidak hadir dan mengikut prosiding, bagi kes rayuan jenayah, kedua-dua pihak (perayu dan responden) perlu hadir.

“Maka kami tiada pilihan selain mengeluarkan waran tangkap bagi memaksa responden hadir ke mahkamah,” kata hakim itu lagi.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari ini untuk sebutan waran tangkap Ambika dan pelantikan peguam bagi wanita itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memohon agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Ambika kerana wanita itu jelas dengan sengaja tidak hadir ke mahkamah.

“Pihak kami telah pergi ke rumahnya sebanyak tujuh kali untuk menyerahkan notis kehadiran kepada Ambika tetapi dia atau anaknya yang tinggal di rumah sama tidak pernah memberikan sebarang respon walaupun loceng pintu ditekan berkali-kali dan pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka. Cubaan terakhir ialah sekitar pukul 8 malam, semalam,” katanya.

Jayavartiny kemudian memaklumkan mahkamah bahawa ibunya mengalami kesukaran untuk berjalan serta hanya mampu berbaring sahaja dan keadaannya semakin teruk namun dia mengakui bahawa ibunya mengetahui mengenai tarikh prosiding mahkamah hari ini.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto ketika menemui media selepas tamat prosiding hari ini menyatakan, tindakan Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang baik.

Ini kerana keputusan mahkamah terdahulu yang melepas dan membebaskan Ambika telah mengecewakan Indonesia terutamanya keluarga Adelina.

Terdahulu pada 22 September 2020, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang melepas dan membebaskan Ambika daripada pertuduhan membunuh Adelina Lisao, 28, pada 10 Februari 2018.

Kemudian pada April 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Ambika daripada pertuduhan tersebut atas alasan berikutan pihak pendakwaan ketika itu tidak memberikan alasan kukuh apabila mengemukakan permohonan bagi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Sebelum ini kes penderaan Adelina menarik perhatian ramai selepas gambarnya tidur di sebelah kandang anjing di hadapan rumah majikannya dengan beralaskan tikar nipis dan berselimut menjadi tular.

Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI