COMRAT, MOLDOVA – Seorang pesohor media sosial di Moldova dimasukkan ke hospital sakit jiwa selepas dia membunuh ibunya dan merobek keluar jantung mangsa yang masih berdegup, lapor akhbar Daily Star semalam.
Vile Anna Leikovic, 21, yang merupakan seorang pelajar perubatan, dilaporkan membersihkan darah milik ibunya di dalam bilik mandi selepas membunuh wanita itu sebelum keluar berjumpa teman lelakinya.
Menurut akhbar Ziarul National, insiden itu berlaku ketika ibunya, Praskoyva Leikovic, 40, baru pulang dari satu lawatan kerja di Jerman dan mendapati bahawa anaknya telah menjadi penagih dadah.
Dia memarahi suspek dan menegaskan bahawa gadis itu perlu dimasukkan ke pusat pemulihan dadah sebelum ditikam oleh suspek.
Ketika mangsa berada dalam keadaan hampir mati, suspek merobek keluar jantungnya selain turut memotong beberapa organ dalaman wanita itu termasuk paru-paru dan usus menggunakan pisau dapur.
Selepas membersihkan darah ibunya, suspek pergi ke rumah teman lelakinya dan memberitahunya dengan tenang bahawa dia telah membunuh mangsa.
Teman lelakinya kemudiannya menanti suspek untuk tertidur sebelum pergi ke rumah gadis itu bagi melihat sendiri sama ada dakwaannya adalah benar atau tidak.
Menurut laporan media tempatan, nenek kepada suspek mendakwa bahawa dia merupakan seorang anak yang tidak taat dan menjalani kehidupan tidak bermoral serta mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.
Pemeriksaan psikiatri terhadap suspek mendapati bahawa disebabkan keadaan mentalnya ketika itu, dia tidak dapat ‘memahami perbuatannya adalah satu jenayah’ selain tidak dapat memberi keterangan dalam kes tersebut.
Susulan itu, suspek dimasukkan ke hospital sakit jiwa selepas mahkamah menerima hujah bahawa meskipun dia melakukan pembunuhan, suspek adalah di luar kewarasan berhubung perbuatannya itu. – AGENSI