PETALING JAYA – Sukar untuk fokus terhadap kerja kerana sering teringat anaknya, pelakon Emma Maembong memilih untuk membawa anak, Shariq Gabriel yang kini berusia setahun ke lokasi penggambaran.
Perkara tersebut dikongsi oleh Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 29, pada sidang akhbar virtual drama terbaharunya, I Promise, Janji Anaqi yang berlangsung semalam.
“Sejak menjadi ibu memang susah untuk saya meninggalkan anak, walhal anak okey saja. Ketika mendapat tawaran untuk berlakon, pada awalnya saya memang tidak bersedia dan tidak biasa untuk tinggalkan anak.
“Biasalah kerana baru sahaja menjadi ibu, tetapi apabila difikirkan kembali nanti saya juga yang susah jika terlalu obses dengan anak, nanti dia asyik melekat dengan saya.
“Jadi apabila mula berlakon saya sangat sukar untuk fokus kerana asyik teringatkan anak. Sebagai ibu, saya percaya kita jaga anak lebih baik daripada orang lain.
“Akhirnya, saya ambil jalan pintas dengan bawa anak ke set penggambaran. Saya boleh bekerja dan hati pun tenang, selesai masalah,” kongsi Emma sambil ketawa.
Sungguhpun begitu, Emma tidak akan membawa anaknya ke setiap lokasi penggambaran sebaliknya, memilih tempat yang sesuai dan selesa sahaja.
Tambahnya, bukan tidak percaya kepada pembantu rumah atau orang lain untuk menjaga anaknya, namun Emma lebih tenang andai anaknya berada di depan mata.
“Saya tidak bawa anak selalu kerana sedar perlu juga belajar tinggalkan anak. Oleh itu, saya akan lihat lokasi penggambaran terlebih dahulu, jika sesuai seperti di rumah dan tempat selesa barulah saya akan bawa.
“Jika tempat panas dan tidak sesuai saya tidak akan bawa anak, bergantung pada keadaan. Bukanlah saya tidak percaya orang lain jagakan anak cuma dengan kasih sayang seorang ibu, hanya ibu sahaja yang akan menjaga anak mereka betul-betul,” kata Emma.
Terdahulu, pada September lalu Emma menarik perhatian khalayak apabila membawa anak, suami dan pembantu rumahnya ke Cameron Highlands, Pahang sedangkan ketika itu rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Emma menjelaskan dia membawa suami dan anaknya ke Cameron Highlands untuk menemaninya menjalani penggambaran sebuah drama kerana anaknya masih menyusu badan.
Sementara itu, dalam drama I Promise Janji Anaqi lakonannya bersama Sharnaaz Ahmad, Emma memegang watak Hayla seorang isteri yang menjadi mangsa penderaan suaminya.
Kata Emma, drama yang diadaptasi daripada novel I Promise, Janji Anaqi nukilan Acik Lana itu sarat dengan drama, aksi dan pengajaran buat penonton.
“Watak Hayla memang agak berat, tetapi tidak sukar untuk membawanya kerana dikelilingi barisan pelakon yang hebat seperti Sharnaaz dan Talha Harith.
“Mereka berdua memang sudah biasa dengan aksi, jadi adegan saya dipukul dan diterajang nampak seperti betul, tetapi langsung tidak kena pada wajah. Semua hanyalah lakonan semata-mata,” ujar Emma.
Drama I Promise, Janji Anaqi yang diarahkan oleh Hadith Omar sudah mula menemui penonton bermula 6 Disember lalu. Karya sebanyak 28 episod itu disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 11 malam di Astro Ria. – K! ONLINE