PETALING JAYA – Rentetan isu jumlah pengikut media sosial sejuta sebagai keutamaan nilai tambah yang melayakkan pemilihan seseorang pelakon naskhah televisyen, Awesome TV pula sebaliknya menjadikan bakat dan penampilan sebagai kriteria utama bavi setiap pengambilan selebriti khususnya pelakon untuk terlibat dalam setiap produksi stesen berkenaan.
Sebagai contoh, telefilem Pang Pokok Ketapang yang meletakkan Amerul Affendi sebagai teraju utama berjaya meraih jumlah tontonan melebihi se uta melalui tonton TV.
Telefilem tersebut turut menerima ciapan tertinggi melalui platform Twitter yang memuji lakonan Amerul yang dilihat cukup menjiwai karektor melalui karya tersebut.
Menurut Datuk Adam Ilyas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, pihaknya tidak mengamalkan diskriminasi dalam pemilihan pelakon untuk mana-mana produk siaran.
“Kami lebih fokus kepada bakat serta kandungan program dan kami percaya kepada pencungkilan bakat baharu yang sesuai untuk dijadikan pelapis industri.”
“Personaliti media sosial seperti di Instagram, Tik Tok, Facebook dan sebagainya tidak semestinya mempunyai kebolehan yang sesuai untuk kandungan televisyen,” katanya.
Secara konklusifnya, sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai. Bakat, strategi pemasaran, jalan cerita serta pengarahan yang baik adalah formula yang tepat untuk berjaya menarik tontonan masyarakat.
Baharu-baharu ini, Amerul Affendi dan Zahiril Adzim secara berseloroh dan sinikal berkongsi membeli pengikut demi untuk “menurut” kemahuan stesen televisen manakala Nam Ron pula pernah memuat naik foto separuh bogelnya, juga demi menyahut cabaran stesen TV yang mahukan barisan pelakon yang mempunyai sekurang-kurangnya 1 juta pengikut. – K! ONLINE