BEIRUT, LEBANON – Individu tidak divaksin yang menularkan virus Covid-19 di Lebanon berdepan dengan hukuman denda sebanyak 250,000 pound Lebanon (RM700) di bawah undang-undang baharu yang diluluskan oleh parlimen negara itu kelmarin, lapor akhbar Arab News kelmarin.
Caj penalti itu menyaksikan kenaikan berbanding denda yang dikenakan sebelum ini iaitu sebanyak 50,000 pound Lebanon (RM139) bagi mereka yang belum divaksin, namun menularkan virus itu.
Bagaimanapun, undang-undang yang dikemas kini itu tidak mewajibkan penduduk mengambil vaksinasi bagi melawan Covid-19.
Pegawai kesihatan Lebanon menggesa orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksinasi di tengah-tengah lonjakan jangkitan harian dengan 1,707 kes Covid-19 baharu dan 10 kematian direkodkan kelmarin.
Menteri Kesihatan, Dr. Firas Abiad ketika ditanya mengenai denda itu berkata, dengan situasi kewangan dan tahap kemiskinan di negara itu ketika ini, hukuman tersebut akan memberikan impak.
Bagaimanapun, langkah tersebut mendapat tentangan dan dikritik hebat penduduk sedia terjejas dengan kemelut kewangan negara itu.
Seorang pengurus perniagaan, Hania Michele mengkritik langkah itu dan menyifatkannya sebagai ‘undang-undang yang tiada tujuan dan tidak bermakna’.
“Biarpun sudah divaksin, mereka masih boleh menjangkiti dan menyebarkan virus, jadi undang-undang itu tidak praktikal,” katanya.
Sementara itu, seorang guru sekolah, Marwa E. berkata, undang-undang tersebut merupakan satu langkah yang baik.
“Saya percaya bahawa tidak kira betapa tegasnya denda ini di tengah-tengah konflik kewangan negara ini, ia akan menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin serta memakai pelitup muka,” katanya. – AGENSI