PETALING JAYA – Berani dia ‘karate’ cermin sisi ‘King’.
Itu antara komen pengguna media sosial selepas sebuah video memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal mematahkan cermin sisi sebuah kereta akibat berang dengan tindakan pemandu menukar lorong secara mengejut tular di media sosial.
Menerusi rakaman itu, dilihat kereta tersebut dipandu perlahan sebelum pemandu bertindak menukar lorong.
Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang seorang lelaki kemudian datang dari arah kiri terus memasuki lorong kanan tersebut sehingga kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.
Penunggang motosikal yang berang dengan tindakan pemandu tersebut dilihat memaharahi pemandu itu sebelum secara tiba-tiba bertindak mematahkan cermin sisi kereta berkenaan.
Penunggang berkenaan kemudian terus memecut laju meninggalkan kereta tersebut.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan penunggang itu dan menyifatkan perbuatannya itu seperti samseng.
“Nampak Myvi dah bagi ‘signal’ dan tukar lorong perlahan-perlahan. Dia yang datang laju dari kiri terus melencong ke kanan, dia pula marah orang tu,” kata Muiz.
“Takut-takut berani, dia tahu kereta tu takkan boleh kejar dia baru dia berani patahkan cermin sisi. Harap polis dapat tangkap samseng jalanan ini,” kata Mah Mud.
“Dia pun tukar lorong tak beri signal, kira bagus dah tak kena langgar,” kata Shalimar. – K! ONLINE.