PEMAIN beregu campuran negara, Chan Peng Soon dilihat agresif dalam pemilihan pasangan baharu dalam misi memperkuatkan cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Tegasnya, jika dia berjaya menemui pasangan terbaik tidak mustahil dia mampu menyumbang pingat buat negara di temasya sukan terbesar itu.
Kelmarin, Peng Soon yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio (2016) dalam beregu campuran mengumumkan berpisah dengan Goh Liu Ying selepas 13 tahun bekerjasama sekali gus mencari pasangan baharu untuk membantunya melayakkan diri ke Paris 2024.
“Pertama sekali saya perlu mencari rakan sepasukan yang terbaik dan sesuai dengan saya. Mungkin sasaran ketika itu adalah setahun dan selepas itu saya harap mampu kekalkan sehingga 2024 nanti.
“Buat masa ini saya tidak mahu fikir soal ranking. Saya mahu lihat adakah rakan sepasukan baharu saya sesuai atau mampu bekerjasama atau tidak. Ini sangat penting.
“Saya rasa jika semua dalam keadaan baik, ia bukan satu masalah untuk perbaiki ranking. Kalau berjalan dengan lancar tidak mustahil kita mampu layak dan seterusnya meraih pingat di Paris 2024,” katanya.
Peminat badminton Malaysia mengharapkan gandingan Peng Soon dan Pearly Tan dapat diketengahkan selepas atlet berusia 21 tahun itu mempamerkan aksi hebat dalam beberapa kejohanan sebelum ini.