KOTA BHARU – Klinik Ibu dan Anak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini akan dipindahkan ke Bandar Baharu Tunjong bagi mengurangkan kesesakan teruk di pusat bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Menurutnya, proses pengambilan tanah di Tunjong telah mendapat kelulusan dan projek pembinaan klinik baharu tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Isu kepadatan HRPZ II pernah diusulkan di Parlimen kerana tidak mempunyai kawasan parkir sehingga mewujudkan kesesakan lalu lintas.
“Kerajaan Pusat sebelum ini memaklumkan proses pemindahan memerlukan bajet besar,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia Peringkat Kelantan 2021 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Izani berkata, dalam usaha membangunkan Kota Bharu sebagai bandar terancang dan selamat, pihaknya sedang membuat perancangan bagi mengurangkan kepadatan di pusat bandar ini.
Katanya, selain itu, semua bandar-bandar utama di Kelantan setakat ini masih belum mencapai tahap bandar pintar dan rendah karbon sebagaimana bandar besar di negeri lain termasuk di ibu negara. – K! ONLINE