DENVER, COLORODO – Satu kajian mendapati lelaki yang bercakap dengan nada suara yang kuat lebih mudah menyebarkan virus Covid-19 kepada individu lain, lapor akhbar New York Post semalam.
Kajian oleh Universiti Negeri Colorado dan diterbitkan dalam jurnal Enviromental Science and Technology Letters itu meneliti pelepasan wap pernafasan daripada individu sihat ketika bercakap dan menyanyi dalam persekitaran makmal yang terkawal.
Kumpulan penyelidik berkenaan membuat kesimpulan bahawa nyanyian menghasilkan 77 peratus lebih wap pernafasan (aerosol) daripada bercakap, orang dewasa menghasilkan 62 peratus lebih aerosol daripada kanak-kanak dan lelaki menghasilkan 34 peratus lebih aerosol berbanding wanita.
“Semakin kuat seseorang itu bercakap atau menyanyi, semakin banyak aerosol yang dikeluarkannya,” jelas universiti itu dalam satu hantaran berita di laman webnya. – AGENSI