CAPE TOWN – Sekumpulan perompak bersenjata dilaporkan mengugut untuk memanggang seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hidup-hidup di dalam ketuhar sambil ditonton ahli keluarganya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Gideon Bierman mengalami trauma apabila tujuh lelaki lengkap bersenjata menyerbu ladang milik keluarganya yang berusia 15 tahun di Mpumalanga, Afrika Selatan.
Ibu bapa Gideon, Niel, 47, dan Sonja, 43, beserta dua abangnya, Daniel, 13, dan Jacobus, 10, turut ditahan ketika serbuan.
Sonja memberitahu akhbar The Scottish Sun bahawa mereka tidak sempat berbuat apa-apa kerana suspek bersenjatakan selaras senapang patah dan lima pucuk pistol. Mereka segera mengikat suaminya.
Pada awalnya, suspek mengancam untuk menembak Sonja dan anak-anaknya jika tidak membuka peti besi milik mereka.
Suspek berang apabila tiada barang berharga ditemui di dalam peti besi itu, sebaliknya hanya sepucuk pistol jenis Browning, senapang jenis Browning serta pistol pelet.
“Saya beritahu mereka berulang kali bahawa kami tidak simpan wang di dalam rumah tetapi mereka tidak percaya. Ketika saya cuba menenangkan anak-anak, saya dengar tembakan dilepaskan dari dalam rumah.
“Saya tidak tahu sama ada suami saya masih hidup atau mati. Mereka kemudian menangkap Gideon dan membawa kami ke dapur. Saya lega bahawa suami saya tidak ditembak,’’ jelas Sonja.
Kumpulan perompak itu melarikan sebuah trak, kad bank Niel beserta nombor pin, pistol dan beberapa telefon pintar setelah penggera dibunyikan seorang pekerja ladang yang ingin mendapatkan makanan ayam.
Keluarga itu kini menjalani khidmat kaunseling setelah mengalami trauma. Suspek sehingga kini masih bebas.
Jurucakap polis, Kapten Kay Makhubla berkata bahawa ia bukan kali pertama ladang di Afrika Selatan diserbu penjenayah. Sebelum ini, seorang petani wanita tua diseksa menggunakan obor api ketika ladangnya diserang perompak. – Agensi