SHAH ALAM – Peribahasa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi adalah bertepatan buat Muhammad Husnur Shafiz Ahmad Husaini, 26, apabila berjaya menggenggam segulung ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 secara janji temu hari ini.
Lebih manis, detik gembira itu turut diraikan bersama ibunya, Prof. Madya Dr. Kamariah Noor Ismail yang juga Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam, di sini.
Menurut Kamariah, 52, dia sanggup membeli kelengkapan jubah untuk meraikan kejayaan anak sulungnya itu yang menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
“Ia merupakan detik paling bermakna sepanjang saya berkhidmat sebagai pensyarah UiTM sejak 20 tahun lalu.
“Alhamdulilah, saya berbangga kerana anak berjaya menamatkan pengajian di universiti sama,” katanya sebak.
Muhammad Husnur merupakan antara 129 graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam. -K!ONLINE