fbpx

Garis emosi, lakonan Kim Soo-hyun bernilai RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIM SOO-HYUN

MENJELANG detik penutup 2021, sebuah naskhah yang dinanti-nantikan pencinta drama Korea Selatan atau K-drama sedang menuai perhatian meluas hampir semua orang ketika ini.

Semuanya kerana naskhah dengan judul One Ordinary Day yang mengusung genre jenayah sedang meminjam pesona serta kredibiliti lakonan aktor paling popular Korea Selatan, Kim Soo-hyun.

Penampilan aktor kacak itu sekali gus menjadi kemunculan terbaharunya dalam skrin televisyen selepas kali terakhir disaksikan menerusi It’s Okay To Not Be Okay setahun lalu.

One Ordinary Day yang ditayangkan menerusi laman penstriman Coupang Play merupakan naskhah yang dibikin semula daripada drama bersiri popular terbitan BBC, Criminal Justice.

SEMAKIN mendunia. Populariti Soo-hyun kekal di puncak teratas apabila mencandu pencinta K-drama dengan buah tangan terbaharu, One Ordinary Day.

Soo-hyun memegang watak sebagai seorang pelajar kolej bernama Kim Hyun-soo yang tiba-tiba kehidupannya berantakan selepas menjadi suspek utama satu kes pembunuhan.

Pada malam kejadian, dia menghabiskan masa bersama seorang wanita yang tidak dikenali bernama Hong Kook-hwa, namun ketika bangun keesokan paginya, wanita itu ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di atas sebuah katil.

Sementara Cha Seung-won memainkan peranan sebagai seorang peguam kelas ketiga bernama Shin Joong-han yang membantu Hyun-soo membela diri, namun pada masa sama tidak pernah bertanya tentang apa yang berlaku pada malam pembunuhan membabitkan pelajar itu.

Elemen emosi

Sejak tayangan episod awal bermula 27 November lalu, Soo-hyun sudah membuktikan kualiti lakonan yang cukup membekas dalam jiwa penonton.

Tiba-tiba menjadi suspek kes pembunuhan, Soo-hyun melakar setiap garis emosi berbeza yang dirasakannya sebagai Hyun-soo dengan cukup sempurna, sekali gus menjadi daya tarikan utama drama tersebut.

JIKA dilemparkan watak air mata, Soo-hyun tidak pernah gagal mengeluarkan pesonanya yang memikul sebeban emosi dengan cemerlang.

Maka tidak hairanlah dia kini memegang takhta sebagai pelakon paling mahal di Korea Selatan dengan menerima bayaran sebanyak 500 juta won bersamaan RM1.8 juta untuk setiap episod drama One Ordinary Day.

Dia sememangnya layak menerima jumlah bayaran sedemikian besar dek impak semua naskhah yang meminjam pesona tanpa pernah gagal mencipta rating tontonan tertinggi, hasil persembahan cemerlang Soo-hyun.

Naskhah lakonannya juga mendapat permintaan siaran di negara luar dan menjadi judul ikonik bagi setiap penggemar K-drama.

Menyedari judul berkenaan merupakan naskhah bikin semula, semua itu menuntut usaha keras Soo-hyun untuk mencipta kelainan dengan mutu lakonan tersendiri.

Akui Soo-hyun, dia mahu mencipta merit lakonan dan tontonan yang sama rata dengan respons yang diterima oleh Criminal Justice.

TAK menjadi masalah menjayakan naskhah bikin semula, Soo-hyun bereksperimentasi dengan menjadikan watak bawaannya dalam versi sendiri.

Dalam usaha menghayati karakter seorang suspek pembunuhan, Soo-hyun sudah menonton semua versi Criminal Justice, baik yang ditayangkan menerusi BBC sehinggalah HBO.

Bagaimanapun, aktor berusia 33 tahun itu mendapati, ada beberapa hal berbeza untuk karakternya dalam One Ordinary Day, sekali gus menerbitkan idea untuk mencipta kelainan sebagai Hyun-soo.

“Sewaktu kali pertama ditawarkan projek ini, saya terus rasa, inilah peluang terbaik untuk menjayakan watak Hyun-soo menjadi versi sendiri.

“Saya serahkan seluruh jiwa untuk Hyun-soo. Kecewa, sedih, terluka dan hilang, itu perasaan yang saya alami ketika menjadi Hyun-soo,” katanya.

Nama watak

Saat menyaksikan drama sentuhan sutradara Lee Myung-woo tersebut, satu hal yang menangkap perhatian penggemar K-drama ialah nama watak Hyun-soo yang diterbalikkan daripada nama Soo-hyun.

Dedah Myung-woo, cerita dan nama watak utama drama tersebut sudah dibuat terlebih dahulu sebelum memutuskan aktor manakah yang selayaknya menghidupkan karakter berkenaan.

Ironi, petunjuk yang dirasakan sutradara dan penulis skrip ketika awal pembikinan jalan cerita muncul secara spontan apabila membayangkan wajah Soo-hyun sebagai Hyun-soo.

DI sebalik imej ‘budak baik’ dan wajah polos yang dimilikinya, keperibadian Soo-hyun sebenarnya sangat berbeza. Dia mempunyai sisi karakter yang ceria dan gemar membuat jenaka ketika di set penggambaran.

“Sebab namanya memang mirip, jadi dari awal saya sudah membayangkan Soo-hyun yang akan memainkan peranan Hyun-soo. Ketika dia menerima tawaran drama ini, rasanya tidak ubah seperti satu mimpi,” ujar Myung-soo.

Soo-hyun, seorang pelakon serba boleh. Dia mempunyai keupayaan mencernakan apa jua bentuk emosi yang harus dijayakan dalam lakonan.

Menjadi Hyun-soo bukan mudah, apatah dipotretkan sebagai pelajar kolej daripada keluarga biasa serta mempunyai penyakit asma, namun tiba-tiba dipenjara atas dakwaan membunuh.

Rata-rata penonton One Ordinary Day berkongsi perasaan sama iaitu mati kata-kata dan tenggelam dalam larut emosi saat menonton derita Hyun-soo.

Selain pesona Soo-hyun yang menjadi daya tarikan utama One Ordinary Day, drama berkenaan turut menampilkan barisan aktor hebat lain seperti Kim Sung-kyu sebagai Do Ji-tae, Kim Hong-pa (Park Sang-beom), Kim Sim-rok (Ahn Tae-hee) dan Lee Seol (Seo Soo-jin).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI