SELEPAS Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan serta aktiviti rentas daerah dan negeri dibenarkan pada Oktober lalu, kenduri perkahwinan kembali rancak diadakan dan banyak pasangan merancang untuk percutian bulan madu setelah sekian lama tertangguh.
Semestinya berbulan madu menjadi momen istimewa untuk anda dan pasangan bagi mencipta kenangan manis, selain mengeratkan kasih sayang suami isteri.
Justeru, lakukan perancangan terbaik agar dapat menikmati sepenuhnya detik terindah tersebut tanpa kejadian-kejadian tidak diingini sehingga merosakkan mood percutian.
Ia sudah semestinya tidak sama dengan percutian biasa yang anda selalu sertai bersama keluarga mahupun sahabat handai kerana pada kali ini, ia tentang meraikan cinta antara dua jiwa.
Sehubungan itu, Horizon ingin memberikan beberapa tip penting agar anda dan pasangan dapat mencipta percutian bulan madu yang sangat indah serta meninggalkan kenangan terindah dalam hidup.
1. Perancangan awal
Tidak perlu tergesa-tegesa untuk terus pergi berbulan madu, sebaiknya rehatkan badan dan minda selepas penat menguruskan majlis perkahwinan.
Ini kerana, percutian yang sempurna memerlukan perancangan terbaik.
Buat perancangan berbulan madu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dengan menempah tiket penerbangan dan hotel.
Selain dapat pakej lebih murah, perancangan awal juga penting agar segalanya berjalan lancar dan mengelakkan anda mengalami stres menguruskan kehidupan baharu.
Dengan itu, anda dan pasangan dapat berehat dan menikmati percutian dengan perasaan tenang dan damai.
2. Destinasi
Percutian bulan madu seharusnya dilalui dengan suasana tenang dan romantik.
Maka, pemilihan destinasi sangat penting untuk membangkitkan suasana dan perasaan itu.
Adalah penting melakukan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan dengan pasangan untuk memilih tempat berbulan madu yang bakal dikunjungi.
Kalau boleh, elakkan pergi ketika musim cuti persekolahan atau cuti umum bagi mengelakkan tempat itu terlalu padat dengan pengunjung.
3. Buat kejutan
Cipta kenangan manis untuk pasangan dengan membuat kejutan ketika berbulan madu.
Pastinya, ia akan mengeratkan lagi kasih sayang antara pasangan hingga ke akhir hayat.
Tidak perlu membuat kejutan mewah atau berlebihan.
Cukuplah sekadar termampu dan yakin bahawa perkara itu bakal membuatkan si dia bahagia, apatah lagi jika perkara tersebut memang diimpikannya sekian lama.
4. Aktiviti
Berbulan madu tidak bermakna anda hanya mengunjungi sesuatu lokasi tanpa perlu melakukan sebarang aktiviti.
Ia lebih menyeronokkan jika anda dan pasangan dapat melakukan aktiviti secara bersama.
Bagi pencinta aktiviti lasak, boleh melakukan perkara itu dengan pasangan.
Bagaimanapun, jangan lupa sesi memanjakan diri, relaks dan menempah makan malam romantik.
5. Jaga emosi
Ketika berbulan madu, ia merupakan fasa anda mengenali ‘warna sebenar’ pasangan kerana mungkin ketika bercinta, dia tidak menunjukkan sisi menjengkelkan.
Kita harus faham, setiap orang mempunyai kelebihan dan keburukan.
Justeru, ini adalah masanya anda menerima seadanya tentang pasangan.
Masing-masing perlu menjaga emosi jika terserlah sesuatu yang kurang disenangi.
Sebaiknya cuba berbincang serta memahami kehendak hati masing-masing.