fbpx

Almy Nadia selamat lahirkan anak perempuan keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon, Almy Nadia selamat melahirkan bayi perempuan pagi tadi.

PETALING JAYA – Pasangan selebriti, Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia selamat menimang anak perempuan keempat mereka pada pukul 3.49 pagi tadi.

Menurut Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin, 40, anak keempatnya itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.76 kilogram di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, isteri saya selamat bersalin pada pukul 3.49 pagi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Amin. 4-0 keputusan sekarang,” kongsi Fizz  menerusi Instagramnya pagi tadi.

Dalam pada itu, Fizz mendedahkan bagi kelahiran anak keempat ini, mereka suami isteri sengaja tidak melakukan imbasan jantina kerana mahukan kejutan ketika hari kelahiran.

“Sebenarnya, memang kami berdua sengaja tidak ‘scan’ jantina anak keempat ini kerana mahukan kejutan. Kami mahu merasai kembali perasaan teruja seperti mendapat anak pertama dahulu.

“Justeru itu, kami tidaklah beriya-iya melakukan persiapan, malah nama anak pun kami belum pilih lagi kerana tidak tahu lelaki atau perempuan.

“Selepas dapat nama, saya akan kongsi kepada semua,” kata Fizz ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Meskipun sebelum ini Fizz pernah menyatakan hasrat untuk memiliki anak lelaki, namun selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga bersama Almy, dia tetap bersyukur dengan keempat-empat anak perempuannya.

“Soal anak itu rezeki Allah, saya menerima seadanya. Andai diberi rezeki pada masa depan untuk memiliki anak lelaki pula saya bersyukur. Namun, buat masa ini fokus saya kepada keluarga yang ada sekarang,” tutur Fizz.

Fizz dan Almy yang mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 sebelum ini telah dikurniakan tiga cahaya perempuan iaitu, Nur Afrina Arianna, 5, Nur Afrina Aurora, 4, dan Nur Afrina Ayra yang kini setahun serta seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 11.

Tambah Fizz, anak-anak cukup teruja untuk menerima kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka, bagaimanapun disebabkan prosedur operasi standard (SOP) hospital yang ketat mereka hanya boleh menunggu di rumah.

“Anak-anak semua sudah tidak sabar hendak berjumpa adik mereka. Namun, disebabkan SOP hospital yang ketat mereka tidak boleh datang melawat, hanya boleh lihat adik menerusi panggilan video sahaja.

“Apapun saya berterima kasih atas doa orang ramai dan peminat buat keluarga saya,” tutur Fizz.

Terdahulu, Almy atau nama sebenarnya Ungku Almy Nadia Aminuddin Shah, 34, pernah mengalami keguguran anak lelaki yang merupakan anak keempatnya ketika usia kandungan 14 minggu pada Februari tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI