fbpx

Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan, hukuman penjara Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.

“Mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu adalah pengarah bayangan SRC, beliau melantik pengarah dalam syarikat itu dan menandatangani surat pelantikan. Disebabkan itu semua pengarah mematuhi arahan Najib di mana tiada  bukti menunjukkan bahawa  mereka tidak mematuhi keputusan berkenaan,” kata hakim Abdul Karim.

Pada 30 Julai tahun lalu, Najib selaku perayu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 19 Oktober tahun lalu, Najib mengemukakan 307 alasan bagi menyokong rayuan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf ketika mendapatinya bersalah dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Berita berkaitan: Apa nasib Najib esok?

Dua hari sebelum itu, Ahli Parlimen Pekan tersebut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Bagaimanapun, mahkamah memberikan peringatan tegas kepada Najib dan penjamin-penjaminnya agar tidak memandang enteng akan tanggungjawab masing-masing berhubung kehadiran ke mahkamah.

Semalam, Najib hampir dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir ke prosiding mahkamah atas alasan sedang menjalani kuarantin kendiri akibat salah seorang peguamnya telah disahkan dijangkiti Covid-19, namun mahkamah mendapati Najib hanyalah kontak kasual.

Sementara itu, peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihaknya akan memfailkan notis rayuan secepat mungkin.

Rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan merupakan peluang terakhirnya itu untuk membatalkan semua sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI