PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan menahan lima nelayan warga Vietnam selepas lebih tiga jam mengejar bot yang dinaiki mereka di lokasi 76.3 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini semalam.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, Kapal Maritim Jujur bersama sebuah bot peronda APMM yang menjalankan operasi melihat sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 6.50 petang.
Menurutnya, menyedari mereka diekori oleh bot peronda, tekong bot tersebut cuba memecut laju untuk melarikan diri menuju ke sempadan perairan Thailand.
“Selepas lebih tiga jam mengejar, bot nelayan itu akhirnya berhenti dan APMM terus menahan bot tersebut pada 10.40 malam.
“Lima awak-awak termasuk tekong yang merupakan warga Vietnam berusia antara 17 hingga 34 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Syed Nor Adli, tekong bot juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan menangguk gamat di perairan negara.
Ujarnya, APMM telah merampas gamat kira-kira 50 kilogram, minyak diesel dianggarkan sebanyak 1,000 liter dan peralatan menangguk gamat yang dianggarkan bernilai RM400,000. – K! ONLINE