fbpx

PGA rampas 500 kg daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 500 kilogram daum ketum bernilai RM85,000 dibungkus dengan plastik hitam yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di Kampung Padang Layang, Pendek

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Kampung Padang Layang, Pendek di sini semalam.

Tembakan itu berjaya menghentikan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 36 tahun kira-kira pukul 6.45 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Suprintendan Muhammad Shamsuddin berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menemui 500 kilogram daun ketum bernilai RM85,000 dibungkus dengan plastik hitam yang berada di dalam kenderaan tersebut.

Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu kenderaan itu enggan berhenti apabila dia dikejar oleh anggota PGA dari arah jalan Rantau Panjang-Pasir Mas.

“Anggota PGA mengekori kenderaan itu sehingga ke Jalan Pendek dan telah diarahkan berhenti beberapa kali sebelum pemandu berkenaan bertindak menghimpit kenderaan pasukan.

“Atas faktor keselamatan, anggota PGA terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan terbabit pada jarak satu meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad, sewaktu kenderaan itu berhenti, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan dua anggota PGA cedera di pergelangan tangan manakala suspek cedera di muka sebelum dia berjaya ditahan.

Katanya, siasatan mendapati, suspek membawa daun ketum dari Kedah untuk dijual di pasaran sekitar negeri ini.

“Suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis pil kuda,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam menjalankan tugas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI