MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM- Sebanyak 706 notis kesalahan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam operasi Ambang Merdeka di seluruh Selangor, malam tadi.
Menurut Ketua Seksyen Operasi Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Hamir Md. Harith, operasi tersebut bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam dengan disertai 112 pegawai dan anggota JPJ.
Katanya, ia turut disertai oleh pegawai polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sebanyak 847 buah kenderaan telah diperiksa dengan 706 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
“Ini melibatkan 527 notis saman dan kehadiran ke mahkamah, notis larangan penggunaan kenderaan (99), notis arah periksa (77) dan tiga notis sita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh pemilik kenderaan tersebut adalah tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 279 kenderaan.
Tambah Hamir, ia diikuti pemasangan cermin gelap yang tidak mengikut piawaian JPJ sebanyak 114 kesalahan, insurans kenderaan tamat tempoh (71 kesalahan), kesalahan teknikal (124 kesalahan) dan lain-lain kesalahan (118).
“Pihak JAS turut mengeluarkan 10 notis saman kepada pemilik motosikal atas
kesalahan melepaskan gas pencemar yang melebihi had yang ditetapkan,” katanya. -K!ONLINE