SELAMA – Tiga beradik warga emas terpaksa menghabiskan sisa-sisa usia mereka dengan berkongsi keperitan hidup menghuni sebuah rumah sewa daif di Pekan Selama di sini sejak 14 tahun lalu.
Disebabkan kemalangan dan penyakit angin ahmar, Rahmah Mustafa, 65, bersama dua adiknya iaitu Che Manis, 59, dan Wan Ali, 54, tidak lagi boleh bekerja, menyebabkan sewa rumah tersebut tertunggak selama 14 bulan.
Rumah sedia ada dilihat kurang sesuai bagi tiga beradik itu memandangkan mereka perlu menuruni anak tangga untuk ke bilik air dan dapur.
Menurut Rahmah, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala Wan Ali mendapat bantuan orang kelainan upaya (OKU) tidak bekerja dan Che Manis pula penerima bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri Perak (MAIPk).
Bagaimanapun katanya, jumlah yang diterima sebanyak RM1,000 sebulan tidak mencukupi untuk menampung kos sewa rumah, perbelanjaan harian serta perubatan terutama Wan Ali yang perlu mendapatkan rawatan susulan berkala di Hospital Taiping.
Rahmah berkata, sejak terjatuh di belakang rumahnya setahun lalu, dia mula sukar untuk bergerak dan hanya terlantar kerana faktor uzur.
“Tak larat dah duduk rumah sewa sejak 14 tahun lalu, jadi kalau dapat rumah sendiri lebih elok,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Dalam pada itu, kesempitan hidup yang dialami tiga beradik itu mendapat perhatian MAIPk dan Baitulmal yang melunaskan tunggakan sewa rumah selama 14 bulan berjumlah RM3,500 dan menanggung sewa bulanan seterusnya.
Malah, tiga sekeluarga itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamaruddin yang menziarahi warga emas tersebut bersama petugas Pusat Khidmat ADUN Selama dan JKM.
Orang ramai yang berhasrat membantu tiga beradik warga emas ini bolehlah menghubungi Pusat Khidmat ADUN Selama menerusi talian 05-8391 464.-K! ONLINE