MUNICH – Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski bersedia menghancurkan impian Barcelona untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
Lewandowski dikatakan bermotivasi tinggi untuk menjaringkan gol ke atas The Catalan menjelang aksi terakhir Kumpulan E di Allianz Arena awal pagi esok selepas dia tidak dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2021.
Keputusan itu sememangnya sukar diterima Lewandowski yang terlepas peluang untuk memenanginya selepas ia tidak dipertandingkan pada edisi tahun lalu.
Kali ini, Lewandowski merasai kekecewaan yang sama apabila trofi Ballon d’Or itu bagi edisi 2021 diberikan kepada bekas bintang Barcelona, Lionel Messi yang kini mewakili Paris Saint-Germain.
Pemain tengah menyerang Bayern, Thomas Muller menjelaskan, rakan sepasukannya itu tentunya mahu melepaskan geram dengan memastikan Barcelona tewas bertemu mereka awal pagi esok, sekali gus berputih mata untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
“Daripada sudut pandangan saya, penyampaian Anugerah Ballon d’Or amat mengecewakan.
“Satu lagi pesanan saya adalah Lewandowski masih lagi kecewa. Sudah tentu dia akan melepaskan geram itu untuk aksi Liga Juara-Juara seterusnya menentang Barcelona pada Rabu ini (awal pagi esok).
“Ia secara tidak langsung menyuntik motivasi tambahan kepada kami untuk membuktikan kemampuan Bayern dan mengembalikan trofi Liga Juara-Juara ke Munich musim ini,” katanya.
Sebagai rekod, Bayern berjaya menewaskan Barcelona dalam tiga pertemuan terakhir bermula dengan keputusan 3-2 (2015), 8-2 (2020) dan 3-0 pada September lalu. – AGENSI