fbpx

Hak pengguna marhaen terus terabai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

REALITINYA isu pengguna sangat luas. Bermula kita bangun pada waktu pagi setiap hari sehinggalah kita kembali melelapkan mata. Dari lahirnya seorang bayi ke alam fana ini sehinggalah kembalinya seorang insan ke alam barzakh dan bersemadi di liang lahad.

Selagi kita berkeperluan terhadap sesuatu, maka selagi itu kita akan menjadi seorang pengguna. Apa yang membezakan antara pengguna adalah kemampuan untuk membuat pilihan untuk membeli barangan atau menggunakan sesuatu perkhidmatan.

Jika kita miliki banyak wang, maka kita ada lebih banyak pilihan untuk menggunakan sesuatu. Kita banyak pilihan untuk membeli rumah idaman, kenderaan yang selesa, makan apa yang kita suka atau melancong ke mana sahaja. Hari ini orang berduit sudah boleh melancong ke angkasa lepas!

Sebagai pengguna biasa pula, mereka ini perlu menerima apa yang termampu. Sentiasa berjaga-jaga dengan duit yang ada. Usah berbelanja melebihi had kemampuan jika tidak mahu berdepan masalah kemudian hari.

Malangnya, tahap pembelaan kepada pengguna biasa sejak bertahun-tahun lalu masih tidak berubah. Harga barang dan perkhidmatan masih ditentukan oleh orang tengah dan syarikat-syarikat perniagaan besar yang seolah-olah berkuasa menentukan segala-galanya.

Jika ada persatuan-persatuan pengguna pula, suara mereka seperti tidak ke mana. Sehingga hari ini, kita tidak melihat ada impak besar yang digerakkan oleh persatuan atau pertubuhan dalam membela isu pengguna. Paling-paling tidak seruan boikot. Itu pun tidak lama.

Baru-baru ini dilaporkan ramai yang berhadapan dengan kesukaran mendapat bekalan minyak masak peket – bekalan asas bersubsidi khusus bagi golongan kurang berkemampuan.

Belum selesai isu minyak peket, timbul pula isu harga sayur melambung tinggi. Pelbagai alasan diberikan daripada keadaan cuaca, harga baja melambung serta kenaikan kos pengangkutan.

Walau apa alasan pun, peniaga dan pemborong semuanya tidak mahu rugi. Para petani pula tidak pun bertukar jadi jutawan segera. Akhirnya semua kos yang naik terpaksa dipikul oleh pengguna.

Selepas ini, hadaplah kita dengan isu-isu kitar semula seperti kenaikan harga petrol, kajian semula caj bekalan air bersih, elektrik, tol, tambang pengangkutan awam dan banyak lagi.

Tidak terkecuali syarikat gergasi pengendali telekomunikasi dan stesen televisyen berbayar yang tidak akan sesekali berpuas hati dengan keuntungan beratus juta setiap tahun. Sebaliknya terus meminta pengguna menanggung kos perkhidmatan mereka yang didakwa meningkat dari semasa ke semasa.

Akhirnya, dalam isu kepenggunaan ini, kita sahaja yang layak membela diri sendiri. Pertingkatkanlah ilmu dan pengetahuan agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak lain. Nak harapkan wakil rakyat, sibuk ‘berdrama’ sahaja di Parlimen. Lain kali kita undi ‘wakil pengguna’ lagi baik.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI