PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharapkan ‘ihsan’ Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk membenarkan tambahan seorang lagi penjaga gol bagi membantu skuad Harimau Malaya mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2020 kali ini.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sedikit tempang selepas hanya memiliki 21 pemain di Singapura susulan tonggak serangan, Faisal Halim dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid terpaksa dikuarantin apabila disahkan positif Covid-19 kelmarin.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada Pengarah Kejohanan AFF untuk mempertimbangkan tambahan seorang lagi pemain di posisi penjaga gol.
“Kita sudah menghantar surat rayuan kepada AFF untuk memberi lampu hijau jika membenarkan tambahan penjaga gol memandangkan skuad Harimau Malaya hanya memiliki dua penjaga gol ketika ini.
“Mengenai siapa pemain pengganti itu, ia akan diputuskan oleh barisan kejurulatihan pimpinan Cheng Hoe dan kami harap dapat menerima maklum balas daripada pihak AFF secepat mungkin.
“Ini kerana skuad Harimau Malaya dijangka berdepan kesukaran jika hanya ada dua penjaga gol memandangkan sebarang kemungkinan boleh berlaku, misalnya menerima kad merah atau kecederaan pada hari perlawanan.
“Walaupun Khairulazhan boleh kembali sekiranya disahkan negatif Covid-19, saya anggap penambahan seorang lagi penjaga gol adalah wajar kerana kita tidak boleh ambil risiko dengan situasi pandemik ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain Khairulazhan, dua lagi penjaga gol yang mewakili skuad Harimau Malaya ketika ini adalah Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz.
Terdahulu, penjaga gol muda, Azri Ab Ghani telah diketepikan daripada senarai akhir ekoran kecederaan.