fbpx

Harimau Malaya benam Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKHYAR RASYID berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan sebelum meledak gol kedua Malaysia pada aksi Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura semalam. – AFF

SKUAD Harimau Malaya memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura semalam.

Pada aksi itu, skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kese­belasan terbaik dengan trio serangan utama terdiri daripada Guilherme de Paula, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Skuad negara tidak menunggu lama menguji benteng skuad bimbingan Ryu Hirose hasil percubaan Safawi seawal minit ke-6 tetapi rembatannya daripada luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol pasukan lawan, Keo Soksela.

PARA pemain Harimau Malaya meraikan jaringan pembukaan oleh Safawi ketika menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B
di Stadium Bishan, Singapura semalam. – AFF

Pasukan negara terus mengatur serangan dan giliran De Paula menguji Soksela tapi sepakannya gagal menerjah jaring.

Momentum tersebut tidak terhenti apabila kem negara diha­diahkan sepakan penalti selepas Akhyar dijatuhkan minit ke-21.

Safawi tidak mensia-siakan peluang untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan untuk meledak gol pertama negara.

Kemboja turut memiliki beberapa peluang sebelum tamat babak pertama tetapi penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menjaga gawang daripada dibolosi.

Bersambung babak kedua, Malaysia berjaya mengesahkan tiga mata penuh apabila Akhyar bijak menyudahkan peluang terhidang untuk meletakkan keputusan 2-0 pada minit ke-61.

Kemudian, giliran pemain gantian, Kogileswaran Raj untuk menambah derita pasukan Kemboja dengan menjaringkan gol ketiga skuad negara pada minit ke-79.

Namun, Kemboja yang menduduki ranking ke-170 dunia meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 yang berjaya disudahkan oleh pemain gantian, Sath Rosib dengan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut menjadi pemangkin semangat buat skuad negara untuk mengharungi aksi kedua menentang Laos di venue yang sama pada Khamis ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI