PETALING JAYA – Kebanyakan organisasi di Malaysia didapati belum bersedia untuk bertindak dalam menangani cabaran perubahan iklim, berdasarkan laporan Tindakan Iklim dan Profesion Perakaunan: Membina Masa Hadapan Yang Mampan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Laporan tersebut mengandungi pandangan daripada lebih 3,000 akauntan dan profesional kewangan dari sektor korporat, awam, perkhidmatan kewangan dan badan tidak bermotifkan berkeuntungan di seluruh dunia.
Perunding Polisi Kanan ACCA untuk ASEAN, Australia dan New Zealand, Sharath Martin berkata, laporan itu mendedahkan, ketika 52 peratus responden percaya peraturan iklim akan memberi impak besar ke atas organisasi dalam tempoh lima tahun, hanya 15 peratus melaporkan organisasi mereka menetapkan sasaran mencapai sifar bersih menjelang 2050.
Tambah beliau, hanya 23 peratus memasukkan petunjuk prestasi utama (KPI) iklim ke dalam rangka kerja strategi dan/atau risiko perniagaan mereka.
“Di Malaysia, hanya 24 peratus responden menunjukkan bahawa organisasi mereka bersedia untuk melabur lebih banyak bagi menangani perubahan iklim dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, angka ini jauh lebih rendah berbanding purata global iaitu 38 peratus.
“Penemuan ini menunjukkan bahawa kini adalah adalah masa terbaik untuk organisasi meneliti semula cara mereka beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Martin menjelaskan, bagi membantu merapatkan jurang yang wujud, laporan berkenaan turut menggariskan langkah penting yang perlu diambil oleh akauntan.
Ini termasuk menyokong kepimpinan lembaga pengarah dan eksekutif untuk membina pelan peralihan sifar bersih, memanfaatkan sasaran berasaskan sains dan mengutamakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam membuat keputusan perniagaan strategik.
“Kami berharap setiap negara, organisasi dan individu memainkan peranan aktif dalam membuat perubahan seterusnya mempercepatkan peralihan ke arah pelepasan karbon sifar,” ujar Martin.