fbpx

Pokok condong petanda bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kedudukan pokok yang condong dan semak yang semakin menurun merupakan antara petanda akan berlakunya kejadian tanah runtuh di satu-satu kawasan sama ada kediaman atau laluan.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, selain itu, terdapat beberapa petunjuk lain yang menyumbang kepada kejadian bencana itu se­perti pergerakan ta­nah dan batu-batu kecil jatuh di lereng bukit atau di kawasan perumahan.

“Petunjuk-petunjuk ini me­nunjukkan cerun di satu-satu lokasi semakin lemah ekoran tekanan air yang banyak di dalam struktur tanah.

“Jika di kawasan perumahan, pergerakan tanah akan berlaku, misalnya aliran air yang keluar daripada tanah semasa, sebelum atau selepas hujan. Biasanya petunjuk ini dapat dilihat jika hujan lebat berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Norazam, orang ramai yang menyedari perkara itu dinasihatkan supaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kediaman masing-masing secepat mungkin.

Norazam Khamis

“Jangan tunggu sehingga berlaku runtuhan yang besar baru hendak berpindah keluar kerana akan mengancam keselamatan.

“Pada masa sama, hubungilah pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), bomba dan polis bagi memaklumkan mengenai pergerakan tanah itu,” ujarnya.

Berita berkaitan: 101 kediaman, jalan raya risiko tanah runtuh

Berita berkaitan: Tanah runtuh: 2 disahkan maut

Jelas beliau, pihak berkuasa seperti jurutera JKR atau PBT akan melakukan siasatan untuk melihat sama ada kawasan kediaman itu selamat didiami atau sebaliknya.

“Jika tidak selamat, mereka akan mendapatkan bantuan bomba dan polis untuk mengarahkan serta membantu penduduk berpindah,” ujarnya.

Tambah Norazam, orang ramai juga diminta supaya berhenti atau berpatah balik sekiranya melalui jalan raya atau laluan yang tidak stabil bagi mengelak kejadian yang tidak diingini se­perti yang berlaku di Perak pada minggu lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI