PUTRAJAYA – Keputusan sama ada rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berjalan seperti yang dijadualkan pada Rabu ini, bergantung kepada permohonan terbaharunya akan didengar esok.
Permohonan terbaharu itu adalah bagi Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho.
Justeru esok panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera akan mendengar dan membuat keputusan berhubung permohonan barunya.
Selain itu, Najib turut memohon Mahkamah Rayuan mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.
Sekiranya permohonan itu diterima maka Mahkamah Rayuan akan mendengar bukti dan keterangan baharu itu sebelum keputusan dibuat.
Jika permohonan itu ditolak, keputusan pada 8 Disember itu masih berkemungkinan ditangguhkan sekiranya pasukan pembelaan Najib ingin mengemukakan rayuan.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 8 Disember ini (Rabu) bagi keputusan rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta membabitkan kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.-K! ONLINE