Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
KUALA LANGAT – Kelekaan 29 kaki judi termasuk penganjur bermain mahjong di sebuah rumah teres tidak berpanjangkan apabila mereka diserbu pihak berkuasa di Kampung Jenjarom di sini semalam.
Dalam operasi pukul 5 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan kesemuanya berusia 40 hingga 80 tahun.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap aktiviti perjudian di rumah tersebut.
Katanya, operasi itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang mengaku sebagai penganjur.
“Mereka terkejut dengan kehadiran pihak polis dan cuba melarikan diri, namun gagal selepas kawasan tersebut telah dikepung kami.
“Turut dirampas adalah peralatan perjudian, antaranya meja, kerusi, papan dan buah mahjong serta wang tunai lebih RM2,000,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
Ujar Zuhairee, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Kesemua suspek juga disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana cuai dan mungkin merebakkan jangkitan sebarang penyakit. -K!ONLINE