PETALING JAYA – Terpalit fitnah kononnya memaksa suami baharu menceraikan isteri pertama dan telah berkahwin dengan Dr. Rushdi Ramli sejak dua tahun lalu, penyanyi Datuk Nora Ariffin mengajak individu yang sengaja memburukkan namanya supaya tampil bersemuka.
Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 48, berkata, dia sedia bertemu empat mata bersama individu yang tergamak menyebarkan cerita palsu mengenai kehidupannya dan suami.
“Saya menyeru pada individu yang sengaja ingin memburukkan kami, tolong tampil bersemuka. Mungkin individu ini ada masalah, kita sama-sama bantu,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.
Ujar pelantun lagu Naluri itu, dia ingin tahu tujuan individu terbabit menyebarkan fitnah dan tuduhan yang tidak tepat kepadanya serta suami,”
Lebih membuatkan Nora tertanya-tanya apabila individu tersebut menggunakan akaun media sosial palsu untuk menyebarkan fitnah terhadap perkahwinannya.
“Kenapa gunakan akaun media sosial palsu untuk sebarkan fitnah? Alangkah baik kalau hubungi saya secara mesej (DM) dalam Intsgara.
“Apa sebenarnya tujuan awak? Kalau bertujuan untuk mencari kebaikan, saya sedia mendengarnya. Tapi kalau bertujuan untuk meruntuhkan perkahwinan saya, itu adalah hak suami saya. Hak mutlak seorang suami tidak boleh dipaksa-paksa. Saya serahkan pada Allah SWT,” tulis Nora.
Dalam pada itu, Nora turut kesal apabila tindakannya mengumumkan status perkahwinannya telah mengundang fitnah yang tidak berasas.
“Berkahwin itu perkara baik, mendapat pahala, wajar dihebahkan. Kerana itulah saya mengambil keputusan untuk beritahu pada semua bagi mengelakkan fitnah.
“Niat saya kerana Allah SWT. Tapi lain pula jadinya. Beritahu salah, tak beritahu pun salah. Sebagai seorang selebriti, saya juga berhak untuk tidak berkongsi atau menjelaskan tentang hal berkaitan kehidupan peribadi saya sekiranya tiada keperluan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, jika benar dia ada melakukan perbuatan yang salah disisi agama, biarlah dirinya sahaja yang meminta keampunan daripadaNya.
Semalam kecoh dalam laman sosial apabila timbul khabar angin mengatakan bahawa Nora sebenarnya sudah pun bernikah dengan suaminya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya sejak dua tahun lalu.
Lebih mengejutkan apabila khabar angin itu juga menyebut bahawa Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin meminta suaminya itu menceraikan isteri pertama.
Bagaimanapun, Nora menerusi kiriman mesej melalui WhatsApp kepada media berkata, segala tuduhan yang tular dalam media sosial itu adalah sama sekali tidak benar dan fitnah semata-mata. – K! ONLINE