PETALING JAYA – Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri pantai Barat Semenanjung Malaysia disaran agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berakhir esok.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui satu kenyataan di Facebook rasminya berkata, walaupun kejadian fenomena air pasang besar kali ini diramal berskala kecil berbanding November lalu, namun keadaannya boleh berubah.
“Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).
“Kawasan-kawasan yang berisiko adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian),”katanya hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit.
Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan. – K! ONLINE