KUCHING- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menyaksikan pertembungan sebanyak 349 calon daripada pelbagai parti bagi merebut kerusi di 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 Disember depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, daripada jumlah itu, parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencalonkan calon paling ramai iaitu sebanyak 82 orang.
“Sementara itu, calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) seramai 73, Parti Sarawak Bersatu (70), Parti Keadilan Rakyat (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (15) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11).
“Amanah seramai lapan calon diikuti Parti Sedar Rakyat Sarawak (5), Pas (1) dan Bebas (30) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 349 calon,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di sini tadi.
Menurutnya, PRN Sarawak kali ini menyaksikan seramai 304 calon lelaki dan 45 calon wanita.
“Calon tertua ialah di DUN Bawang Assan daripada Parti Sarawak Bersatu dan berumur 79 tahun manakala calon termuda masing-masing di DUN Batu Lintang dan Nangka iaitu berumur 24 tahun,” jelasnya.
Pada PRN Sarawak yang lalu, sebanyak 229 calon bertanding termasuk 36 calon Bebas. – K! ONLINE