IPOH – Lebih RM1.04 juta bayaran saman berjaya dikutip dalam tempoh tiga hari selepas diskaun 50 peratus pengurangan saman ditawarkan kepada pesalah trafik di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, jumlah yang direkodkan bermula 1 hingga 3 Disember itu membabitkan lebih 9,000 saman atas pelbagai kesalahan.
Katanya, pembayaran saman tersebut diperolehi di semua kaunter saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini.
“Dalam tempoh tiga hari pertama ini, hampir 3,000 pelanggan yang datang untuk menyemak dan membuat pembayaran saman.
“Lebih 9,000 saman diselesaikan oleh pesalah trafik yang mengambil peluang menyelesaikan bayaran saman sempena penawaran diskaun sehingga 50 peratus,” katanya di sini hari ini.
Azizan berkata, orang ramai boleh membuat semakan dan pembayaran di semua kaunter di seluruh daerah kontinjen Perak bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang waktu bekerja.
Katanya, diskaun pembayaran saman itu akan berakhir pada 30 Disember ini.
“Tawaran itu tidak termasuk bagi kes saman kemalangan tahun 2021, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus bicara mahkamah, berkaitan kenderaan lori dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.
“Selain itu, empat kesalahan tahun 2021 lain adalah memotong secara berbahaya atau potong ‘Q’, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar,” katanya. – K! ONLINE