fbpx

Kutip saman trafik hampir RM80,000 dalam masa tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Sebanyak RM79,800 bayaran saman berjaya dikutip oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam tempoh tiga hari pertama diskaun 50 peratus bayaran saman ditawarkan kepada pesalah trafik di Perak.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, ia melibatkan 743 saman pelbagai kesalahan trafik yang dibayar dalam tempoh 1 hingga 3 Disember lalu.

“Seramai 164 orang hadir dalam tempoh tiga hari itu untuk menjelaskan saman tersebut di IPD Manjung dan orang ramai masih berpeluang untuk mendapatkan diskaun 50 peratus itu sehingga 30 Disember ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nor Omar, IPD Manjung menyediakan lima kaunter masing-masing satu kaunter semakan dan pindaan serta tiga kaunter bayaran di Balai Trafik IPD Manjung daripada Isnin hingga Jumaat bagi memudahkan urusan orang ramai.

Jelasnya, bayaran bagi pengurangan saman trafik itu juga boleh dibuat di semua kaunter saman trafik polis di negeri ini sehingga 30 Disember ini.

Beliau memberitahu, diskaun itu bagaimanapun tidak ditawarkan terhadap saman kemalangan tahun 2021, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus bicara mahkamah, berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

Tegas beliau, ia juga tidak diberikan kepada empat kesalahan tahun 2021 iaitu memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI