SAN DIEGO, CALIFORNIA – Seekor ikan lancet sepanjang 1.22 meter ditemui oleh pengunjung selepas terdampar dekat Institusi Oseanografi Scripps di Universiti California, San Diego lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Walaupun penemuan tersebut bukan amat jarang berlaku, penyelidik-penyelidik berkata, ikan lancet tersebut adalah yang pertama diawet oleh institusi berkenaan sejak tahun 1996. Hanya 17 ekor ikan itu telah diawet selepas ditemui di pantai San Diego sejak 1947.
Penemuan itu berlaku seminggu selepas seekor ikan Pasific Football yang lebih jarang ditemui, telah dijumpai terdampar kira-kira 4.84 kilometer dari Pantai Black.
Pengurus Oseanografi Scripps, Ben Frable memberitahu CNN bahawa ikan lancet itu ditemui di pantai La Jolla dalam keadaan masih hidup tetapi mati selepas diserang kawanan burung camar.
Frable mengesyaki bahawa ikan-ikan habitat laut dalam itu mungkin terdampar di pantai atas beberapa sebab seperti lari daripada haiwan pemangsa atau terperangkap dalam arus dan tidak cukup kuat untuk berenang keluar.
Ikan lancet dikenali kerana matanya yang besar, rahang bertaring dan badan yang licin, demikian menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan.
Ikan itu boleh membesar sehingga panjang lebih 2.13 meter. Ia dikatakan tidak mencerna makanan yang dimakannya.
‘’Ikan Lancet mempunyai diet yang pelbagai, Ikan karnivor ini turut memakan spesiesnya sendiri,’’ kata Frable. – Agensi