TAMPIN – Tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam apabila seorang wanita ditahan polis di Taman Indah, di sini selepas dikesan memandu secara melulu, berlegar-legar sehingga mengundang bahaya kepada penduduk di taman perumahan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, penduduk segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk meminta bantuan menghentikan kenderaan tersebut.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Amiruddien Sariman, sebaik menerima panggilan pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mengesan kenderaan jenis Perodua Myvi yang dilaporkan dipandu berlegar-legar sudah agak lama di kawasan taman perumahan berkenaan.
“Usaha mengesan dan menyuruh pemandu iaitu seorang wanita untuk berhenti mengambil masa selama lima minit. Wanita berkenaan memberikan kerjasama untuk memberhentikan kenderaannya selepas diarahkan polis dan di bawa ke Balai Polis Tampin untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu mempunyai masalah keluarga dan pada masa kejadian, dia berkemungkinan mengalami tekanan sehingga tidak menghiraukan cara pemanduannya yang mengundang bahaya kepada penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Amiruddien berkata, wanita berkenaan tinggal serta bekerja di Selangor dalam sektor swasta dan hanya pulang ke kampungnya semasa cuti sahaja.
Menurutnya, wanita berkenaan yang sudah berpisah dengan suaminya juga tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian urin yang dilaksanakan ke atas wanita berkenaan negatif.
“Pihak polis memberikan nasihat kepada wanita berkenaan dan keluarganya yang datang ke balai untuk menyelesaikan masalah secara baik bagi kebaikan semua pihak. – K! ONLINE