MADRID – Pasukan Suzuki perlu mencari jalan bagi memantapkan jentera menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan dalam usaha untuk memastikan juara dunia 2019, Joan Mir terus bersama pasukan itu.
Difahamkan, Mir mula kecewa dengan prestasi jentera pada saingan musim ini apabila dia tergolong dalam antara pelumba yang tidak pernah memimpin sebarang pusingan perlumbaan.
Justeru, dia dikatakan meletakkan syarat agar Suzuki meningkatkan kemampuan jentera sekiranya mahu terus menggunakan khidmatnya selepas saingan musim 2022 berakhir nanti.
“Saya mengendalikan jentera sama yang digunakan pada 2020 dan ia sangat pantas ketika itu. Pada musim ini, pasukan lain menunjukkan peningkatan ketara sementara saya masih berada di takuk lama.
“Amat penting untuk pastikan diri saya berada dalam pasaran. Saya tidak tahu lagi apa akan berlaku nanti, jika Suzuki mahu saya kekal, sudah tentu saya terus berada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, ketua pasukan Suzuki, Shinichi Sahara menegaskan, beliau tidak memiliki perancangan untuk menggantikan pelumba Sepanyol tersebut bagi menghadapi saingan 2023.
“Saya tidak ada sebarang sebab untuk menukar mana-mana pelumba sebaik saingan 2022 berakhir nanti. Buat masa sekarang, perancangan kami adalah untuk kekal dengan pelumba sedia ada,” ujar beliau. – AGENSI