fbpx

Harimau Malaya harus menang awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain dan pegawai sudah bersiap sedia memulakan misi memburu Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Bishan, Singapura bermula hari ini. - FAM

HANYA kemenangan menjadi sasaran skuad Harimau Malaya dalam memastikan kempen Piala AFF Suzuki 2020 bermula dengan langkah positif menjelang pertemuan pembuka tirai Kumpulan B menentang Kemboja di Stadium Bishan, Singapura hari ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui dua perlawanan awal peringkat Kumpulan B menentang Kemboja serta Laos perlu diakhiri dengan keputusan positif sebelum mengharungi cabaran yang lebih getir menentang Vietnam dan Indonesia nanti.

CHENG HOE

Kata Cheng Hoe, pasukan sudah menjalani latihan fasa akhir dan bersedia untuk mengutip tiga mata berharga menentang skuad Kemboja yang dibimbing oleh pengendali import, Ryu Hirose yang mempamerkan taktikal positif sebelum ini.

“Kami sudah meneliti corak permainan Kemboja yang saya anggap memiliki perbezaan ketara sejak dua tahun lalu dengan mempamerkan taktikal bola sepak moden dengan mengamalkan serangan balas pantas yang perlu diberi perhatian.

“Mereka juga memiliki pasukan yang berkualiti dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman seperti Chan Vathanaka. Namun, saya harap persiapan yang kami jalankan sejak awal minggu lalu cukup untuk memastikan keputusan positif dapat diraih.

“Secara jujur, hanya kemenangan yang boleh memberi makna besar buat skuad kebangsaan dalam menentukan nasib serta hala tuju pasukan pada peringkat kumpulan kali ini.

“Jika berjaya meraih kemenangan besar, ia adalah rezeki tetapi jika kemenangan nipis juga tidak menjadi masalah asalkan kita dapat memulakan kempen dengan langkah kanan,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe sudah mula mencongak kese­belasan terbaik tetapi dalam masa yang sama mengesahkan pemain import berpangkalan di Eropah, Dion Cools hanya akan bersama pasukan selepas aksi bertemu Vietnam, Ahad nanti.

“Semua 23 pemain sudah bersama pasukan tetapi Cools hanya akan melaporkan diri pada minggu depan dan dijangka diturun­kan pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia.

“Mengenai kesebelasan utama khususnya di posisi serangan, saya sudah ada perancangan tersendiri tetapi komitmen oleh penyerang seperti Shahrel Fikri (Md. Fauzi) dan Guilherme de Paula) sepanjang sesi latihan cukup tinggi,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran buat Cheng Hoe untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya menyamai pencapaian melangkah ke pentas final seperti yang dilakukan pada edisi 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI