SUNGAI PETANI – Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam tempat takungan air rumah pam di sebuah taman tema di Kelab Cinta Sayang di sini semalam.
Mangsa berusia lingkungan 30-an yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan terendam di dalam air pada paras 10 sentimeter (cm).
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Pegawai Bomba Kanan II Nordin Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 2.30 petang.
“Pasukan bomba dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dipercayai terjatuh dari ketinggian empat meter.
“Proses sanitasi telah dijalankan sebelum mangsa berjaya dibawa keluar mengggunakan pengusung dan diserahkan kepada polis sejam kemudian,” katanya di sini hari ini.
Taman tema air tersebut tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa merupakan penduduk tempatan dan dipercayai terjatuh semasa melalui kawasan rumah pam itu.
“Siasatan awal tidak menemui sebarang kecederaan berunsurkan jenayah pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – K! ONLINE