MELIHAT kepada kemajuan teknologi tanpa sempadan ketika ini, di lubuk fikiran kita sememangnya dunia ini sungguh kecil, senang diakses dan lingkarannya hanya dikeliling kita sahaja.
Pelbagai aplikasi yang telah dimajukan dan dicipta bermula daripada Yahoo Messenger, MySpace atau Tagged kemudian bertapaknya Facebook (FB).
Selepas itu, timbul pula pelbagai lagi sosial media yang terkenal antaranya Twitter, Instagram (IG) kemudiannya yang terbaharu dan begitu popular ciptaan manusia sendiri iaitu TikTok.
Kemajuan penciptaan pelbagai sosial media ketika ini dilihat seperti tiada penghujung dan sekiranya dihitung dalam masa terdekat tidak mustahil banyak lagi aplikasi seperti itu bakal tercipta tidak lama lagi.
Penciptaan aplikasi-aplikasi seperti ini pada dasarnya adalah untuk memudahkan hubungan sesama manusia dan ada juga dikatakan sebagai dakyah illuminati untuk menyesatkan lagi masyarakat dunia terutamanya umat Islam.
Walau pelbagai tanggapan yang dikeluarkan, kita sebagai pengguna tidak boleh lari walaupun sedikit untuk tidak menggunakan perkembangan teknologi ini.
Kalau tidak digunakan teknologi seperti ini, mesti ada yang berkata, “kolot betul dia ni, FB dengan IG pun tidak pandai guna. Ini zaman moden.”
Namun, yang menyedihkan penggunaan sosial media yang ada seperti tidak terbatas dan lebih teruk lagi boleh kita katakan manusia sudah jadi ‘hamba’ kepada teknologi.
Saban hari, kita boleh saksikan ramai umat manusia tidak kira umur, darjat atau kaum ada sahaja yang dimuatnaik di dalam sosial media masing-masing.
Baru-baru ini ada juga tular berkenaan seorang pegawai polis yang menggunakan TikTok ketika bertugas menghantar orang kena tuduh (OKT) dalam perjalanan ke mahkamah.
Seperti tiada rasa bersalah sengaja memaparkan wajah OKT tersebut, kalaupun nak tunjukkan kita bekerja kenapa perlu dipaparkan dalam Tik Tok?
Bukan itu sahaja, kebenaran rentas negeri baru-baru ini juga sudah menjadi tabiat orang kita untuk memaparkan tentang pertemuan mereka dengan orang tersayang.
Ada juga perkara baik yang dibuat manusia seperti bersedekah, menyelamatkan binatang di tengah jalan. Tetapi apakah signifikasinya kita memaparkan kebaikan kita itu di media sosial, di mana pahala yang kita mahu rebut dan apakah niat kita sebenarnya?
Walau telah banyak diperkatakan oleh alim ulama tentang niat atau kegunaan kebaikan dalam media sosial ini, tetapi manusia tidak pernah mengalah, seperti disuruh-suruh pula.
Penceramah bebas, Mohd. Rizalman Ahmad berkata, bukan tiada perkara baik di media sosial, namun penggunaannya perlu ada batas dan tidak keterlaluan.
Jelasnya, kadang-kadang manusia ini sudah hilang perasaan malunya, ada yang menunjuk dan menari di hadapan jutaan orang dan paling memalukan kebanyakannya adalah remaja serta gadis Melayu Islam.
“Walau berhadapan dengan kamera telefon sendiri, tapi apakah mereka ini sedar yang bentuk badan dan tingkah laku mereka itu ditonton oleh orang di seluruh dunia.
“Tenaga pengajar juga ketika ini banyak dilihat menggunakan sosial media mereka untuk tunjuk reaksi serta aksi mereka di khalayak ramai. Kalau untuk mendidik tidak mengapa tapi ini sebaliknya,” katanya.
Walau apa pun yang ditunjuk, jika ke arah kebaikan silakan, namun jika ada niat yang bertentangan seharusnya manusia perlu ingat yang mana dosa dan pahala kita tetap dicatat setiap saat.