fbpx

‘Saya anggap pembenci sebahagian daripada peminat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIADA gimik, bahkan pencarian hero untuk video muzik Putus masih belum ditemui Nabila sehingga ke hari ini.

NABILA RAZALI, sepotong nama yang tidak pernah sepi daripada kecaman netizen.

Paling diingati ramai semestinya momen nyanyian terkucil ketika menjayakan beberapa persembahan pentas sebelum ini.

Kini, pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd. Razali, 29, itu kembali dengan single berjudul Putus yang baru dilancarkan minggu lalu.
Walaupun muncul dengan karya terbaharu, peminat tetap mempersoal dan mempertikaikan mutu nyanyiannya.

KOSMO!: Boleh kongsikan apakah perasaan Nabila selepas ramai yang memuji nyanyian dan persembahan dalam program MeleTOP baru-baru ini?
NABILA RAZALI: Sejujurnya saya memang rasa amat gemuruh kerana risau kejadian sama (terkucil) berulang. Bahkan setiap kali naik pentas, automatik rasa gugup memang ada tetapi saya perlu lawan juga.
Saya cuba perlahan-lahan walaupun ada masa tertentu rasa menggigil. Paling gemuruh sebab itu merupakan pengalaman pertama saya mendendangkan lagu Putus secara siaran langsung.

Bagaimana pula dengan penerimaan dan komen netizen? Apakah masih ramai yang melemparkan kecaman seperti sebelum ini?
Alhamdulillah, banyak komen positif yang saya terima walaupun di sebaliknya masih terselit sedikit kecaman daripada umum. Kalau boleh, saya tak mahu ambil pusing sangat sebab memang sudah lumrah sebagai artis terpaksa hadap situasi tersebut.
Bezanya, dahulu banyak kecaman tetapi sekarang sudah terbalik, komen positif pula menghujani saya. Syukur ramai sudah nampak peningkatan dalam diri saya.
Selain itu, saya juga setia berpegang dengan prinsip tak hidup dek puji, tak mati dek keji. Semua ini dilakukan untuk majukan karier saya sendiri.

Apa pendapat apabila masih ramai yang kerap mencari kesalahan dalam setiap nyanyian anda? Seperti tidak berkesudahan.
Untuk mereka yang sengaja mencari salah, tiada apa mampu saya katakan. Memang hak mereka untuk membenci saya atau tidak.
Sekarang, saya cuba jadikan golongan yang suka mengkritik sebagai sebahagian daripada peminat. Mungkin kerana mereka sangat prihatin dengan perkembangan kerjaya saya, setiap hari mereka mencari kesalahan.

Apabila kerap menjadi mangsa kecaman mengenai vokal, apa tindakan yang dilakukan untuk buktikan anda juga mampu berjaya?
Sebenarnya sejak kejadian beberapa kali terkucil, saya tidak gagal pergi ke kelas vokal. Saya sanggup laburkan duit untuk memperbaiki mutu vokal sebab saya juga seorang manusia yang banyak kekurangan. Paling penting, saya tidak akan berhenti untuk belajar.

Untuk lagu Putus, adakah anda akan melakukan gimik seperti beberapa single sebelum ini?
Jika mengikut perancangan, memang tiada gimik seperti lagu-lagu saya sebelum ini. Hal ini kerana saya ingin mempersembahkan kualiti yang ada pada lagu ciptaan saya dan Erwin Purnama itu.
Putus sendiri sudah sangat kuat. Mengenai video muzik pula, kami sudah ada perancangan tetapi hero yang bakal ditampilkan masih belum jumpa setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI