fbpx

Pengguna harus bangkit tangani kenaikan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mungkin sudah tiba masa pengguna bangkit dengan tidak membeli barang yang dijual dengan harga mahal. - Gambar hiasan

Isu harga barang naik timbul semula. Ia bukan perkara baru. Setiap tahun atau musim isu kenaikan harga barang kembali mendapat perhatian. Cuma kali ini, peningkatan adalah besar dan melangkaui semua sektor keperluan.

Harga minyak naik. Harga kelapa sawit naik. Harga getah naik. Begitu juga daripada kobis sehingga ke cili dan ayam. Hingga ais pun dikatakan naik. Simen, besi, alat ganti kenderaan juga turut naik. Yang turun di Malaysia hanya hujan.

Tetapi fenomena kenaikan harga barang keperluan dan bukan keperluan didorong banyak faktor. Kenaikan harga minyak dunia mempengaruhi semua komponen berkaitan kimia. Kenaikan harga minyak sawit menaikkan harga semua barang yang menggunakan asas komoditi itu. Kira-kira 60 peratus barangan daripada ubat gigi, sabun dan kosmetik kepada coklat menggunakan minyak sawit. Itu tidak termasuk minyak masak yang menjadi keperluan perniagaan semua restoran.

Salah satu punca utama terlalu banyak tangan dalam pengedaran daripada pengeluar sebelum sampai kepada pengguna. Setiap tangan akan mengambil keuntungan yang pada akhirnya sampai kepada pembeli pada harga lebih tinggi.

Tidak ketinggalan kos barang input dalam pengeluaran. Daripada baja sehingga racun semuanya memberi kesan kepada kos pengeluaran. Contohnya harga gandum telah meningkat daripada AS$560 pada Disember 2020 kepada AS$803 setiap gantang ketika ini. Kos itu mendorong peningkatan keseluruhan kepada barang berasaskan tepung. Selalunya barang yang berkaitan juga meningkat.

Kenaikan harga barang mendadak ketika ini juga disebabkan faktor permintaan. Sejak awal tahun ketika “lockdown” dan permintaan mencatatkan penurunan. Justeru terdapat lebih pengeluaran.

Selepas semua sektor ekonomi dibuka, permintaan barang keperluan seperti mendapat suntikan “steroid”. Dengan peningkatan mendadak, harga juga meningkat. Ini “Ekonomi 100”. Tidak kurang juga peniaga yang mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan. Setahun tidak berniaga, maka kerakusan membuat duit kembali.

Tren kenaikan harga di negara ini juga berlaku apabila dekat musim perayaan. Tiba sahaja sambutan seperti Aidilfitri atau kebesaran agama lain, harga terus naik. Harga ayam melebihi RM10 dan kenaikan itu dipersalahkan kepada kos dedak. Cuma masalah sama tidak dihadapi oleh penternak di Thailand dan Vietnam. Mungkin dedak di sana lebih murah. Alasan punca kenaikan seperti boleh dijangka.

Persoalannya, apa yang boleh dilakukan oleh pembeli dan pengguna selain merungut dan membuat aduan kepada kerajaan?

Pada kebanyakan masa pengguna di negara ini tidak menggunakan kuasa yang ada. Kita membenarkan diri kita diperolok oleh segelintir peniaga yang kebanyakan masa sememangnya mengaut keuntungan. Tiada orang yang berniaga di dunia yang bukan bertujuan mencatatkan keuntungan. Lebih baik duduk di rumah tanpa dibebani semua kesulitan.

Pengguna sepatutnya menunjukkan kuasa dengan tidak membeli barang yang dijual pada harga keterlaluan atau tidak munasabah. Memang ada mengatakan ia sukar dilakukan. Tetapi sesuatu yang sangat bermakna selalunya tidak mudah dicapai. Sesuatu yang besar memerlukan pengorbanan yang besar.

Apabila permintaan menurun, harga juga akan menurun. Itu tidak dapat dielakkan dan peniaga, pemborong dan orang tengah mengetahui realiti ini. Mungkin tiba masanya kita bangkit dan berkata “Ini mahal sangat. Saya tidak mahu beli”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI