KUCHING- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi menyesuaikannya dengan situasi setempat.
Menurut SOP Pencegahan Covid-19 bagi Pelaksanaan PRN Sarawak yang dimuat naik SPR, calon parti dibenarkan melakukan ceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian internet.
“Sepanjang tempoh pilihan raya, penganjuran ceramah dan syarahan secara fizikal tidak dibenarkan kecuali bagi kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian internet tinggi.
“Penganjur, urus setia, calon dan penceramah perlu membuat ujian RTK-Ag secara kendiri sebelum membuat ceramah. Ujian itu perlu dibuat di bilik gerakan serta direkod dalam MySejahtera atau dicatat dalam buku,” katanya.
Menurut SPR lagi, hanya individu lengkap divaksin sahaja dibenarkan hadir pada sesi itu selain perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk semakan jumlah kehadiran, status kehadiran serta vaksinasi.
“Peserta dengan suhu badan melebihi 37.5 Celcius atau bergejala tidak dibenarkan masuk selain perlu sentiasa memakai pelitup muka.
“Kehadiran peserta hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa,” katanya. -K! ONLINE.