SEBERANG PERAI – Kira-kira 3,000 penduduk di kawasan Parlimen Kepala Batas di sini mendapat manfaat penjimatan harga barangan dapur menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia di kawasan itu hari ini.
Program yang diadakan di pekarangan Wisma TNB, Parlimen Kepala Batas itu berlangsung selama empat jam bermula pukul 8 pagi.
Rata-rata pengunjung meminta agar program tersebut dapat diadakan dengan lebih kerap bagi membantu penduduk kampung dan juga kumpulan berpendapatan rendah menikmati pembelian barangan dapur yang lebih murah daripada harga pasaran semasa.
Menurut mereka, penjimatan sehingga RM5 hingga RM10 yang diperoleh membolehkan mereka membeli barangan keperluan dapur yang lain.
Antara barangan yang ditawarkan pada harga yang menarik adalah beras lima kilogram yang dijual pada harga RM10 berbanding harga biasa di pasaran iaitu RM12.50, seekor ayam RM5 (harga biasa RM11), sepapan telur gred C RM8 (harga biasa RM12.50) dan sekilogram daging lembu segar RM30 (harga biasa RM40) selain sayur-sayuran.
Seorang pengunjung, Mustafa Muhammad, 76, berkata, dia sanggup beratur panjang hampir 20 minit kerana jumlah kemasukan pengunjung di kawasan jualan dihadkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Tetapi saya teruja kerana dapat berjimat kira-kira RM10 dengan membeli beras, telur, tepung gandum, minyak masak dan ayam segar pada hari ini.
“Penjimatan itu dapat bantu saya untuk menampung pembelian barang lain lagi dalam keadaan sesetengah harga barang agak tinggi ketika ini,” katanya yang datang dari Permatang Manggis, Kepala Batas.
Sementara Norlaila Saad, 45, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan dapur selepas melihat iklan program berkenaan di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Ia sangat membantu kerana saya dapat membeli dua kilogram minyak masak bersama tepung yang dijual secara set pada harga RM4 berbanding kira-kira RM6.50 di luar.
“Saya harap program sebegini diteruskan dan diperbanyakkan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Tan Teow Joo, 47, sanggup menunggu sejak kira-kira pukul 7 pagi lagi untuk mendapatkan barangan segar bagi kegunaan keluarga.
“Program ini amat bagus dalam keadaan banyak rakyat yang kesusahan dan harga makanan yang meningkat, saya harap ia akan dibuat setiap minggu.
“Saya dapat beli beras yang murah walaupun pembeliannya dihadkan dan ayam RM5 seekor juga amat murah walaupun saiznya agak kecil berbanding biasa, tetapi mencukupi untuk keluarga,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut hadir bagi meninjau program berkenaan.
Menurut Reezal, pihaknya akan meneruskan program itu pada setiap minggu sehingga harga barangan keperluan harian mengalami penstabilan harga.
“Kita akan cuba dapatkan lebih banyak penyertaan (peniaga) lain yang menawarkan harga berpatutan, malah kita juga tambah lagi subsidi.
“Hasil jualan keseluruhan hari ini adalah RM48,000 dengan subsidi RM14,000,” katanya. – K! ONLINE